Monday, November 19, 2018

Maksud ICERD


.

ICERD: Isu sensitif tangani dengan sensitif

.

Apa itu ICERD?


ICERD adalah singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

ICERD adalah satu instrumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan hak asasi manusia. Ia berkuat-kuasa ke atas negara-negara yang meraktifikasinya untuk menghapus semua bentuk diskriminasi kaum tertakluk kepada apa-apa pengecualian yang dibuat negara berkenaan bab-bab tertentu.

Dalam konvensyen ini, istilah 'diskriminasi kaum' bermaksud sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal-usul kebangsaan atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merosakkan pengktirafan, penikmatan dan penggunaan, atas asas yang sama, hak asasi manusia.

Malaysia adalah salah satu daripada 15 negara yang belum lagi meratifikasikan ICERD. Kerajaan sedang mengkaji implikasinya sebelum membuat keputusan. Polemik dan debat keputusan yang wajar berkenaannya sedang hangat dibicara sekarang.

Pandangan  berbeza


Mantan Ketua Hakim Negaram, Tun Abdul Hamid Mohamad  tidak bersetuju dengan usaha kerajaan untuk meratifikasikan konvensyen tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan akan menyebabkan hak istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 153 akan terhapus.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga berpandangan bahawa ICERD jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tentang hak istimewa orang-orang Melayu, Bumiputera, kedudukan agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.

Mengikutnya cadangan ratifikasi ICERD boleh dilihat sebagai langkah pihak-pihak tertentu yang dominan dalam Kerajaan PH untuk menghakis asas utama dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi satu ancaman kepada kedaulatan negara.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan menolak proses untuk meratifikasi ICERD jika  ianya melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata, ramai yang tidak faham tentang implikasi ICERD dan beliau memberi jaminan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan memberi kesan kepada undang-undang dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Peguam Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak wujud apa-apa percanggahan dalam intipati kandungan ICERD dan peruntukan di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam wawancara dengan Bloomberg TV di Singapore baru-baru ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa Melayu perlu diberi masa untuk memahami dan  menerima perubahan polisi yang melibat atau menyentuh hak istimewa mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata, hala tuju ICERD perlu dirunding dengan  semua kaum di Malaysia, kerana perkara ini bukan mudah memandangkan negara ini ada pelbagai kaum. Ia perlu ditangani dengan penuh cermat sebelum  kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad.

.
.