Friday, December 22, 2017

Maksud Online Presence Dan Kesannya Pada Anda

Fenomena Online Presence boleh memberi manfaat dan mudarat kepada anda. Maka waspadalah tentang hal ini! 

Maksud Online Presence

Online Presence bermaksud "Kewujudan Online" atau "Kewujudan Atas Talian". Fenomena ini berlaku apabila maklumat berkaitan individu atau organisasi itu disimpan dan tersebar di dalam dunia Internet lalu terdedah kepada capaian oleh pengguna Internet yang lain.

Dunia Internet ini asalnya adalah dunia tertutup yang digunakan untuk tujuan penyelidikan sains dan ketenteraan [1]. Apabila Teknologi Web yang membolehkan maklumat elektronik dikongsi menerusi Dunia Internet dibangunkan pada awal tahun 1990an, ia telah sedikit sebanyak membuka sempadan Internet kepada capaian awam dan perniagaan.

Tahun-tahun berikutnya menandakan permulaan Dunia Internet secara terbuka apabila ia membenarkan kegiatan komersil dijalankan menerusi rangkaiannya. Maka tertubuhlah pelopor komersial Internet seperti syarikat Netscape (pencipta Web Browser), Yahoo (Enjin Carian), Amazon (E-Dagang) dan lain-lain. Industri komersil di dalam Internet ini sebenarnya besar meliputi pelbagai pihak seperti Penyedia Perkhidmatan Internet (Internet Service Provider), Institusi Bank, Agen Penghantaran dan sebagainya.

Pelanggan Perlu Berdaftar

Entiti yang digelar sebagai Dot Com Companies ini menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk individu dan perniagaan. Untuk membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan yang disediakan, mereka dikehendaki mendaftarkan maklumat diri atau organisasinya. Maka, di sinilah bermulanya pengumpulan profail pengguna Internet secara besar-besaran.

Kesan Media Sosial 

Lewat tahun 2000, teknologi Internet dimajukan lagi sehingga membolehkan pengguna berinteraksi dalam masa nyata (real time) lalu bercambah pula berbagai platform interaksi pengguna Internet yang digelar Media Sosial (Social Media).

Ketika itu, pengguna Internet bukan sahaja telah rela hati memberikan maklumat identitinya kepada  sistem Media Sosial malah turut membenarkan maklumat itu disebarkan secara terbuka dalam Dunia Internet dengan tujuan untuk bersosial.

Kesan Penggunaan Telefon Pintar 

Kemunculan teknologi telefon mudah alih dan kemudiannya teknologi telefon pintar menjadi pemangkin kepada skala pengumpulan maklumat identiti secara besar-besaran.

Sebaik sahaja seorang pengguna telefon pintar menghidupkan telefon, dia akan diminta berdaftar dengan penyedia perkhidmatan seperti Google atau Apple Store. Kemudian, jika mahu menggunakan talian komunikasi, dia perlu pula mendaftar dengan penyedia perkhidmatan seperti Celcom dan lain-lain. Ini belum termasuk pendaftaran dengan pengilang alat telefon pintar tadi seperti Samsung dan lain-lain.

Kesudahannya, hampir keseluruhan penduduk dunia sudah diprofailkan maklumatnya dan disimpan dalam Dunia Internet!

Era Big Data

Hari ini (2017), sudah 20 tahun berlalu, segala maklumat yang tersimpan dalam dunia Internet sudah menjadi terlalu besar dan digelar Big Data [2]. Kesannya pula hampir menimpa kebanyakan penduduk dunia.

Ada kebaikan dan keburukan dari hal ini. Kebaikannya, maklumat seseorang mudah diakses dan digunakan untuk perkhidmatan yang diperlukannya. Keburukannya, maklumat itu mempunyai risiko disalahgunakan dan hal ini terlalu mudah dilakukan semudah sentuhan jari sahaja.

Di Malaysia, pusat data terbuka negara berada di http://www.data.gov.my/. Barangkali, sebahagian data yang dipaparkan telah diagregatkan (diringkaskan) dari data asal yang dikumpul dari individu seperti anda.




Apakah Risiko Online Presence Kepada Anda?

Jika anda pernah berdaftar dengan mana-mana perkhidmatan Media Sosial sebelum ini dan bersetuju maklumat anda tersebar dalam Dunia Internet, ia sepatutnya tidak menjadi isu (kerana anda sudah bersetuju).

Bagaimanapun ada kes di mana anda telah berdaftar dengan perkhidmatan online pada masa lampau dan telah terlupa atau tidak mahu maklumat itu disiarkan lagi maka anda harus menghubungi penyedia perkhidmatan tersebut dan meminta mereka memadamkan maklumat profail anda.

Anda bernasib baik jika perkhidmatan tersebut masih wujud dan aktif.

Sebaliknya anda mungkin bernasib malang jika perkhidmatan itu tidak wujud lagi. Ada sesetengah perkhidmatan Media Sosial sudah tidak wujud atau aktif lagi seperti Geocities, Friendster, Multiply dan lain-lain. Ada kemungkinan maklumat itu telah terlepas ke pihak ketiga yang terus menyiarkanya. Hal ini akan menjadi lebih rumit.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekarang?

Sebagai langkah berwaspada, anda perlu lakukan pencarian terhadap profail anda sendiri di dalam Internet dari masa ke semasa supaya anda tahu sebanyak mana dan sejauh mana maklumat tentang diri anda telah tersebar di dalam dunia Internet.

Pencarian ini tidaklah begitu sukar. Gunakan Enjin Carian Google. Masukkan sahaja maklumat anda yang bersifat umum dan minta Google membuat pencarian. (Jangan masukkan maklumat yang tidak bersifat umum seperti tarikh lahir, nombor id dan sebagainya).

Sudah membuat pencarian? Hasilnya, apa yang Google tahu tentang anda setakat ini?


Rujukan:
[1] https://www.vox.com/a/internet-maps
[2] https://www.waterfordtechnologies.com/big-data-interesting-facts/