Friday, December 22, 2017

Kisah Ashabul Kahfi

Dari Abu Darda r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Jika sesiapa belajar dengan 'mata hati' dalam 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi, dia akan terlindung dari fitnah Dajjal" (Hadis Riwayat Muslim)

Kisah ashabul Kahfi adalah sebuah kisah yang masyhur dan sarat dengan pengajaran di dalamnya. Ini kerana, al-Quran juga terkandung di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu untuk menjadi pengajaran kepada kita. Berdasarkan firman Allah SWT:



لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran”. [Yusuf:111]



Pengenalan Surah al-Kahfi


Surah Al-Kahfi (سورة الكهف) adalah surat ke-18 di dalam Al Qur'an.
Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam surah Makkiyyah iaitu surah yang turun sebelum daripada berlakunya hijrah ke Madinah.
Al-Kahfi di dalam bahasa Arab bermaksud Gua. Selain itu juga, Ashhabul Kahfi pula bermaksud Penghuni-Penghuni Gua. Nama ini juga diambil daripada kisah yang terdapat dalam surah ini iaitu pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT di dalam gua bertahun-tahun lamanya.


Status Dan Sumber Kisah Ini


Kisah ini adalah sahih kerana ia disebut di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Kahfi yang mana al-Quran adalah mutawatir. Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran tidak diceritakan secara terperinci kerana al-Quran lebih mengutamakan pengajaran daripada kisah tersebut. Selain itu juga, di dalam Mushannaf Abd al-Razzaq ada disebut kisah Ashabul Kahfi ini pada jilid kelima, halaman ke-423.

Ringkasan Kisah Ashabul Kahfi


Imam Ibn Kathir menceritakan secara ringkas akan kisah Ashabul Kahfi ini di dalam kitabnya: “Kisah ini menunjukkan bahawa ia berlaku pada zaman awal seperti mana yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir bahawa ia berlaku selepas daripada al-Masih dan pada waktu itu mereka (kaum Ashabul Kahfi) adalah Nasrani. Apa yang nyata daripada teks (ayat al-Quran) bahawa kaum mereka adalah musyrikin (syirik kepada Allah SWT) dengan menyembah berhala. Telah berkata ramai daripada kalangan ahli tafsir, sejarah dan selain daripada mereka, kisah ini dikatakan berlaku pada zaman raja Diqyanus. Tambahan pula, mereka daripada kalangan anak-anak pembesar dan dikatakan juga bahawa mereka daripada kalangan anak-anak kepada raja-raja pada waktu itu. Mereka telah berpakat untuk berkumpul pada hari perayaan kaum mereka lalu mereka melihat bahawa kaum mereka telah sujud kepada berhala serta membesar atau mengagungkan berhala-berhala tersebut. Ini kerana, mereka telah melihat dengan pandangan hati yang suci, di samping Allah SWT telah membuka hati-hati mereka daripada sesuatu yang membawa kepada kelalaian dan mengilhamkan petunjuk kepada mereka. Dengan itu, mereka mengetahui bahawa kaum mereka tidak berada dalam kebenaran maka mereka pun keluar daripada agama mereka (agama asal) dan berpindah kepada menyembah Allah SWT yang esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya”.  [al-Bidayah wa al-Nihayah, 2:114]



Bilangan Ashabul Kahfi


Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan berkaitan bilangan Ashabul Kahfi. Firman Allah SWT:



سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: Bilangan Ashabul Kahfi itu tiga orang, yang keempat adalah anjing mereka dan setengahnya pula berkata: Bilangan mereka ialah lima orang, yang keenam adalah anjing mereka seperti meraba-raba dalam kegelapan akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengah yang lainnya berkata: Bilangan mereka ialah tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. [al-Kahfi:22]

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa telah berlaku perselisihan dalam menentukan bilangan pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagian mereka berpendapat mereka seramai tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka. Sebahagian mereka yang lain mengatakan bilangan mereka adalah seramai lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka. Kedua-dua pendapat ini adalah daripada Nasrani Najran. Tambahan pula, kedua-dua pendapat ini dibina atas sangkaan semata-mata. [al-Munir, 15:213]



Pendapat Ulama’ Berkaitan Bilangan Ashabul Kahfi


Setelah kami melihat di dalam beberapa buah kitab-kitab tafsir berkaitan tafsiran ayat 22 di dalam surah al-Kahfi ini, kami dapat simpulkan bahawa terdapat tiga pendapat di dalam masalah ini:



Pendapat Pertama: Tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka.
Pendapat Kedua: Lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka.
Pendapat Ketiga: Tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka.


Pendapat pertama dan kedua ini adalah pendapat daripada ahli kitab yang mana ia terbina bukan atas dasar ilmu. Disebabkan itu, Allah SWT meletakkan selepas dua pendapat ini (رَجْمًا بِالْغَيْبِ) yang bermaksud kata-kata tanpa ilmu.



Selain itu juga, jika dilihat terdapat huruf “و” selepas perkataan “سبعة” dan ia tidak terdapat pada sebelumnya. Para ahli Tafsir mengatakan “و” ini membawa maksud إقرار (mengesahkan) pada perkataan sebelumnya.



Tarjih


Setelah melihat kepada tafsiran-tafsiran ahli Tafsir, kami cenderung untuk mengatakan bahawa pendapat ketiga iaitu bilangan Ashabul Kahfi adalah tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka lebih tepat dan kuat. Ini kerana, pada ayat tersebut Allah SWT tidak menyifatkan pendapat yang ketiga itu dengan kata-kata tanpa ilmu. Walaubagaimanapun, Allah SWT menyambung ayat tersebut dengan mengatakan bahawa hanya Dia dan sebahagian (sedikit) manusia yang mengetahui akan bilangan sebenar. Antaranya yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa beliau berkata:



أَنَا مِنَ الْقَلِيلِ

Maksudnya: “Aku termasuk dalam kalangan orang yang sedikit itu”. [al-Tahrir al-Tanwir, 15:291]



Ini menunjukkan bahawa sebaik-baik cara adalah dengan menyerahkannya kepada Allah SWT dalam hal seperti ini.



Penutup

Kesimpulannya, kisah Ashabul Kahfi mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil dan diteladani jika diamati dan ditadabbur ayat-ayat di dalam kisah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan memelihara iman kita. Amin.


Diambil dari: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1216-irsyad-al-hadith-siri-ke-50-kisah-dan-bilangan-ashabul-kahfi