Sunday, December 31, 2017

Jangan Biarkan Masa Berlalu

#NotaTahunBaru

Setiap detik ada perhitungannya.
Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja.

#SerlahkanPotensiAnda

Saturday, December 30, 2017

Jom Gi Sekolah


#NotaAdik

Yeay! Jom gi sekolah.

#SerlahkanPotensiAnda #NotaRazi

Ampunkan Masa Silamku Bimbinglah Masa Depanku

#NotaAzam

Ya Allah.
Ampunkan kesalahan masa silamku.
Bimbing masa depanku ke arah kebaikan.

#SerlahkanPotensiAnda

Friday, December 29, 2017

Ilmu Allah Luas Dan Dalam

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
(Al-Kahfi 18:109) 


Tuesday, December 26, 2017

Siapakah pencipta baju kalis peluru?

Baju kalis peluru adalah manifestasi keberanian dan kebijaksanaan dalam mendepani risiko kehidupan

.

Siapakah pencipta baju kalis peluru?


Baju kalis peluru pertama kali diperkenalkan oleh seorang Jurutera dari Poland bernama Casimir Zeglen pada tahun 1893 iaitu selepas peristiwa pembunuhan Datuk Bandar Chicago. Pada tahun 1897, dia membuat penambahbaikan bersama Jan Szczepanik iaitu pencipta yang kemudiannya berjaya menghasilkan kenderaan kalis peluru pada tahun 1901. Ciptaan ini berjaya menyelamatkan Raja Sepanyol dari letupan yang berlaku berhampiran kenderaannya.

Casimir Zeglen pernah terbaca kajian seorang pakar bernama Dr George E. Goodfellow tentang penggunaan sutera sebagai alat kalis peluru. Selepas kematian Datuk Bandar Chicago, beliau berusaha menggunakan sutera sebagai bahan baju kalis peluru.

Melalui lawatannya ke beberapa kilang tenunan sutera di Vienna, Austria dan Acchen, Germany, beliau menemui kaedah untuk menenun sutera supaya dapat menjadi alat memerangkap peluru dan menghalangnya dari mengenai mangsa sasaran. Hasilnya, baju setebal 1/8 inci (atau 3.175mm) mengandungi 4 lapisan kalis berjaya dihasilkan.

Beliau dan pembantunya kemudiannya mengadakan demonstrasi menunjukkan bagaimana seseorang yang memakai baju kalis peluru terselamat dari tembakan pistol jarak dekat.

[1] Gambar hiasan adalah demonstrasi W.H. Murphy of the Protective Garment Corporation , https://www.atlasobscura.com/articles/how-a-viral-image-robbed-a-polish-priest-of-his-iconic-inventionthe-bulletproof-vest
[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Casimir_Zeglen

.

Sunday, December 24, 2017

[DOA] Panduan Musafir

Islam mengajar umatnya untuk berdoa terutamanya ketika musafir, sama ada bagi perjalanan yang jauh atau yang dekat. 


Panduan Doa Musafir


Islam mengajar umatnya untuk berdoa terutamanya ketika musafir, sama ada bagi perjalanan yang jauh atau yang dekat. Begitu juga ditekankan untuk berdoa ketika menaiki kenderaan. Doa ini dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)  لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)



Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

(Surah al-Zukhruf, 43:12-14)

Imam al-Alusi rahimahullah (w.1342H) Berkata : “Maksudnya ialah bahawa sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tungangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian”

Rujuk Tafsir Ruhul Ma’ani (14/106)

Imam Ibnu Kathir berkata : “Iaitu ia bermakna kekuatan,kalau tidak kerana bantuan daripada Allah SWT kepada kita,tidaklah mampu kita melakukan apa-apa”. Berkata Ibnu Abbas Qatadah dan Assadi dan juga Ibnu Zaid bahawa yang dimaksudkan dengan “مقرينين” adalah yang mampu atau boleh dikawal.

Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (4/106)



Berkata Imam Fakrurazi rahimahullah (w.606H) di dalam tafsirnya: “Tiada kekuatan bagi kami mahupun upaya untuk diikat haiwan tungangan mahupun alam semesta juga tidak mampu bagi kami untuk menetapkan kedua-dua nya (supaya tidak lari). Maha Suci Allah yang telah memberi bantuan kepada kami dengan ilmu-Nya dan kebijaksanaan-Nya serta kesempurnaan kudrat-Nya”.

Rujuk Tafsir al-Kabir (14/199)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah-lah yang memudahkan perjalanan kita tatkala kita bergantung harap kepada-Nya. Begitu juga ini menunjukkan Allah-lah berikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan sekalipun seseorang itu memang terlatih untuk mengendalikan satu-satu kenderaan, kebergantungan kepada Allah SWT amat perlu kerana hakikatnya Dialah yang menguasai setiap sesuatu.

Hal ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut suatu amalan apabila keluar daripada rumah.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia berkata

بِاسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya, dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya): “Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali)." Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata: “Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!”

Hadis riwayat Abu Daud (5095)

Tiga perkara ini yakni hidayah, kecukupan dan perlindungan adalah amat penting bagi seorang musafir agar selamat sampai ke destinasi yang dituju, dan kembali kepada ahli keluarga yang tersayang.

Begitu juga dalam riwayat lain yang masyhur bahawa Ibn Umar R.Anhuma menyebut Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir, Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.”

Hadis riwayat Muslim (1342), Ahmad (6311), Abu Daud (2599) dan lain-lain.

Imam al-Baidhawi rahimahullah (w.685) mensyarahkan hadis ini: “al-wa`tha’ bererti kepayan dan kesusahan… manakala al-kaabah bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadis ini doa memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan, dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan, kematianm dll).”

Rujuk Tuhfah al-Abrar (2/95)


Berdasarkan nas-nas yang cukup banyak, tidak semua sempat kami hidangkan di sini, jelas menunjukkan bahawa adalah teramat penting bagi kita untuk meletakkan pengharapan kita kepada-Nya sahaja. Itulah Allah yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Sebaiknya amalan berdoa sebelum dan ketika musafir kita promosikan dengan sebanyak mungkin agar manfaatnya dapat diperolehi segenap pihak.


Dipetik dari: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1677-bayan-linnas-siri-ke-99-kapal-terbang-dan-kepentingan-doa-musafir

Friday, December 22, 2017

Maksud Online Presence Dan Kesannya Pada Anda

Fenomena Online Presence boleh memberi manfaat dan mudarat kepada anda. Maka waspadalah tentang hal ini! 

Maksud Online Presence

Online Presence bermaksud "Kewujudan Online" atau "Kewujudan Atas Talian". Fenomena ini berlaku apabila maklumat berkaitan individu atau organisasi itu disimpan dan tersebar di dalam dunia Internet lalu terdedah kepada capaian oleh pengguna Internet yang lain.

Dunia Internet ini asalnya adalah dunia tertutup yang digunakan untuk tujuan penyelidikan sains dan ketenteraan [1]. Apabila Teknologi Web yang membolehkan maklumat elektronik dikongsi menerusi Dunia Internet dibangunkan pada awal tahun 1990an, ia telah sedikit sebanyak membuka sempadan Internet kepada capaian awam dan perniagaan.

Tahun-tahun berikutnya menandakan permulaan Dunia Internet secara terbuka apabila ia membenarkan kegiatan komersil dijalankan menerusi rangkaiannya. Maka tertubuhlah pelopor komersial Internet seperti syarikat Netscape (pencipta Web Browser), Yahoo (Enjin Carian), Amazon (E-Dagang) dan lain-lain. Industri komersil di dalam Internet ini sebenarnya besar meliputi pelbagai pihak seperti Penyedia Perkhidmatan Internet (Internet Service Provider), Institusi Bank, Agen Penghantaran dan sebagainya.

Pelanggan Perlu Berdaftar

Entiti yang digelar sebagai Dot Com Companies ini menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk individu dan perniagaan. Untuk membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan yang disediakan, mereka dikehendaki mendaftarkan maklumat diri atau organisasinya. Maka, di sinilah bermulanya pengumpulan profail pengguna Internet secara besar-besaran.

Kesan Media Sosial 

Lewat tahun 2000, teknologi Internet dimajukan lagi sehingga membolehkan pengguna berinteraksi dalam masa nyata (real time) lalu bercambah pula berbagai platform interaksi pengguna Internet yang digelar Media Sosial (Social Media).

Ketika itu, pengguna Internet bukan sahaja telah rela hati memberikan maklumat identitinya kepada  sistem Media Sosial malah turut membenarkan maklumat itu disebarkan secara terbuka dalam Dunia Internet dengan tujuan untuk bersosial.

Kesan Penggunaan Telefon Pintar 

Kemunculan teknologi telefon mudah alih dan kemudiannya teknologi telefon pintar menjadi pemangkin kepada skala pengumpulan maklumat identiti secara besar-besaran.

Sebaik sahaja seorang pengguna telefon pintar menghidupkan telefon, dia akan diminta berdaftar dengan penyedia perkhidmatan seperti Google atau Apple Store. Kemudian, jika mahu menggunakan talian komunikasi, dia perlu pula mendaftar dengan penyedia perkhidmatan seperti Celcom dan lain-lain. Ini belum termasuk pendaftaran dengan pengilang alat telefon pintar tadi seperti Samsung dan lain-lain.

Kesudahannya, hampir keseluruhan penduduk dunia sudah diprofailkan maklumatnya dan disimpan dalam Dunia Internet!

Era Big Data

Hari ini (2017), sudah 20 tahun berlalu, segala maklumat yang tersimpan dalam dunia Internet sudah menjadi terlalu besar dan digelar Big Data [2]. Kesannya pula hampir menimpa kebanyakan penduduk dunia.

Ada kebaikan dan keburukan dari hal ini. Kebaikannya, maklumat seseorang mudah diakses dan digunakan untuk perkhidmatan yang diperlukannya. Keburukannya, maklumat itu mempunyai risiko disalahgunakan dan hal ini terlalu mudah dilakukan semudah sentuhan jari sahaja.

Di Malaysia, pusat data terbuka negara berada di http://www.data.gov.my/. Barangkali, sebahagian data yang dipaparkan telah diagregatkan (diringkaskan) dari data asal yang dikumpul dari individu seperti anda.




Apakah Risiko Online Presence Kepada Anda?

Jika anda pernah berdaftar dengan mana-mana perkhidmatan Media Sosial sebelum ini dan bersetuju maklumat anda tersebar dalam Dunia Internet, ia sepatutnya tidak menjadi isu (kerana anda sudah bersetuju).

Bagaimanapun ada kes di mana anda telah berdaftar dengan perkhidmatan online pada masa lampau dan telah terlupa atau tidak mahu maklumat itu disiarkan lagi maka anda harus menghubungi penyedia perkhidmatan tersebut dan meminta mereka memadamkan maklumat profail anda.

Anda bernasib baik jika perkhidmatan tersebut masih wujud dan aktif.

Sebaliknya anda mungkin bernasib malang jika perkhidmatan itu tidak wujud lagi. Ada sesetengah perkhidmatan Media Sosial sudah tidak wujud atau aktif lagi seperti Geocities, Friendster, Multiply dan lain-lain. Ada kemungkinan maklumat itu telah terlepas ke pihak ketiga yang terus menyiarkanya. Hal ini akan menjadi lebih rumit.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekarang?

Sebagai langkah berwaspada, anda perlu lakukan pencarian terhadap profail anda sendiri di dalam Internet dari masa ke semasa supaya anda tahu sebanyak mana dan sejauh mana maklumat tentang diri anda telah tersebar di dalam dunia Internet.

Pencarian ini tidaklah begitu sukar. Gunakan Enjin Carian Google. Masukkan sahaja maklumat anda yang bersifat umum dan minta Google membuat pencarian. (Jangan masukkan maklumat yang tidak bersifat umum seperti tarikh lahir, nombor id dan sebagainya).

Sudah membuat pencarian? Hasilnya, apa yang Google tahu tentang anda setakat ini?


Rujukan:
[1] https://www.vox.com/a/internet-maps
[2] https://www.waterfordtechnologies.com/big-data-interesting-facts/

Kisah Ashabul Kahfi

Dari Abu Darda r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Jika sesiapa belajar dengan 'mata hati' dalam 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi, dia akan terlindung dari fitnah Dajjal" (Hadis Riwayat Muslim)

Kisah ashabul Kahfi adalah sebuah kisah yang masyhur dan sarat dengan pengajaran di dalamnya. Ini kerana, al-Quran juga terkandung di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu untuk menjadi pengajaran kepada kita. Berdasarkan firman Allah SWT:



لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran”. [Yusuf:111]



Pengenalan Surah al-Kahfi


Surah Al-Kahfi (سورة الكهف) adalah surat ke-18 di dalam Al Qur'an.
Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam surah Makkiyyah iaitu surah yang turun sebelum daripada berlakunya hijrah ke Madinah.
Al-Kahfi di dalam bahasa Arab bermaksud Gua. Selain itu juga, Ashhabul Kahfi pula bermaksud Penghuni-Penghuni Gua. Nama ini juga diambil daripada kisah yang terdapat dalam surah ini iaitu pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT di dalam gua bertahun-tahun lamanya.


Status Dan Sumber Kisah Ini


Kisah ini adalah sahih kerana ia disebut di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Kahfi yang mana al-Quran adalah mutawatir. Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran tidak diceritakan secara terperinci kerana al-Quran lebih mengutamakan pengajaran daripada kisah tersebut. Selain itu juga, di dalam Mushannaf Abd al-Razzaq ada disebut kisah Ashabul Kahfi ini pada jilid kelima, halaman ke-423.

Ringkasan Kisah Ashabul Kahfi


Imam Ibn Kathir menceritakan secara ringkas akan kisah Ashabul Kahfi ini di dalam kitabnya: “Kisah ini menunjukkan bahawa ia berlaku pada zaman awal seperti mana yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir bahawa ia berlaku selepas daripada al-Masih dan pada waktu itu mereka (kaum Ashabul Kahfi) adalah Nasrani. Apa yang nyata daripada teks (ayat al-Quran) bahawa kaum mereka adalah musyrikin (syirik kepada Allah SWT) dengan menyembah berhala. Telah berkata ramai daripada kalangan ahli tafsir, sejarah dan selain daripada mereka, kisah ini dikatakan berlaku pada zaman raja Diqyanus. Tambahan pula, mereka daripada kalangan anak-anak pembesar dan dikatakan juga bahawa mereka daripada kalangan anak-anak kepada raja-raja pada waktu itu. Mereka telah berpakat untuk berkumpul pada hari perayaan kaum mereka lalu mereka melihat bahawa kaum mereka telah sujud kepada berhala serta membesar atau mengagungkan berhala-berhala tersebut. Ini kerana, mereka telah melihat dengan pandangan hati yang suci, di samping Allah SWT telah membuka hati-hati mereka daripada sesuatu yang membawa kepada kelalaian dan mengilhamkan petunjuk kepada mereka. Dengan itu, mereka mengetahui bahawa kaum mereka tidak berada dalam kebenaran maka mereka pun keluar daripada agama mereka (agama asal) dan berpindah kepada menyembah Allah SWT yang esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya”.  [al-Bidayah wa al-Nihayah, 2:114]



Bilangan Ashabul Kahfi


Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan berkaitan bilangan Ashabul Kahfi. Firman Allah SWT:



سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: Bilangan Ashabul Kahfi itu tiga orang, yang keempat adalah anjing mereka dan setengahnya pula berkata: Bilangan mereka ialah lima orang, yang keenam adalah anjing mereka seperti meraba-raba dalam kegelapan akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengah yang lainnya berkata: Bilangan mereka ialah tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. [al-Kahfi:22]

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa telah berlaku perselisihan dalam menentukan bilangan pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagian mereka berpendapat mereka seramai tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka. Sebahagian mereka yang lain mengatakan bilangan mereka adalah seramai lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka. Kedua-dua pendapat ini adalah daripada Nasrani Najran. Tambahan pula, kedua-dua pendapat ini dibina atas sangkaan semata-mata. [al-Munir, 15:213]



Pendapat Ulama’ Berkaitan Bilangan Ashabul Kahfi


Setelah kami melihat di dalam beberapa buah kitab-kitab tafsir berkaitan tafsiran ayat 22 di dalam surah al-Kahfi ini, kami dapat simpulkan bahawa terdapat tiga pendapat di dalam masalah ini:



Pendapat Pertama: Tiga orang dan yang keempat adalah anjing mereka.
Pendapat Kedua: Lima orang dan yang keenam adalah anjing mereka.
Pendapat Ketiga: Tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka.


Pendapat pertama dan kedua ini adalah pendapat daripada ahli kitab yang mana ia terbina bukan atas dasar ilmu. Disebabkan itu, Allah SWT meletakkan selepas dua pendapat ini (رَجْمًا بِالْغَيْبِ) yang bermaksud kata-kata tanpa ilmu.



Selain itu juga, jika dilihat terdapat huruf “و” selepas perkataan “سبعة” dan ia tidak terdapat pada sebelumnya. Para ahli Tafsir mengatakan “و” ini membawa maksud إقرار (mengesahkan) pada perkataan sebelumnya.



Tarjih


Setelah melihat kepada tafsiran-tafsiran ahli Tafsir, kami cenderung untuk mengatakan bahawa pendapat ketiga iaitu bilangan Ashabul Kahfi adalah tujuh orang dan yang kelapan adalah anjing mereka lebih tepat dan kuat. Ini kerana, pada ayat tersebut Allah SWT tidak menyifatkan pendapat yang ketiga itu dengan kata-kata tanpa ilmu. Walaubagaimanapun, Allah SWT menyambung ayat tersebut dengan mengatakan bahawa hanya Dia dan sebahagian (sedikit) manusia yang mengetahui akan bilangan sebenar. Antaranya yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa beliau berkata:



أَنَا مِنَ الْقَلِيلِ

Maksudnya: “Aku termasuk dalam kalangan orang yang sedikit itu”. [al-Tahrir al-Tanwir, 15:291]



Ini menunjukkan bahawa sebaik-baik cara adalah dengan menyerahkannya kepada Allah SWT dalam hal seperti ini.



Penutup

Kesimpulannya, kisah Ashabul Kahfi mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil dan diteladani jika diamati dan ditadabbur ayat-ayat di dalam kisah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan memelihara iman kita. Amin.


Diambil dari: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1216-irsyad-al-hadith-siri-ke-50-kisah-dan-bilangan-ashabul-kahfi

Thursday, December 21, 2017

[DOA] Minta Ilmu Manfaat, Rezeki Halal, Amalan Makbul



Doa belajar, Doa murah rezeki


اللّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَ رِزْقًا طَيِّبًا وَ عَمَلاً مُتَقَبَّلاً 
"Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima." (1)

Dahulu Rasulullah صلى الله عليه و سلم senantiasa memanjatkan doa yang penuh berkat ini selepas solat subuh, waktu seseorang memulakan aktiviti hariannya. Waktu begini adalah sangat penting bagi seseorang memohon tiga perkara ini.

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah صلى الله عليه و سلم memulakan doa ini dengan memohon ilmu yang bermanfaat sebelum meminta yang selainnya. Ini mengandungi isyarat bahwa ilmu yang bermanfaat lebih diutamakan dan lebih didahulukan. Dengan ilmu yang bermanfaat tersebut, seseorang akan mampu membezakan amalan, yang soleh dan yang jelek. Seterusnya membolehkan beliau memilih, mana rezeki yang halal dan yang haram.

"Ilmu yang bermanfaat" adalah ilmu yang boleh diambil manfaat untuk dirinya sendiri sekaligus memberi manfaat kepada orang lain.

"Rezeki yang thayyib" adalah yang halal, baik zatnya mahupun cara mendapatkannya. Adapun "amalan yang diterima" maksudnya ialah diterima di sisi-Nya dan boleh mendatangkan pahala. (2)

Sesungguhnya, doa ini memiliki manfaat yang agung. Di dalamnya terdapat faedah yang besar. Sangat baik seseorang muslim untuk mengamalkannya setiap hari, lalu menyusulinya dengan amalan untuk meraih apa yang dimintanya.
_____________________________________
1.) Hadits diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Kitab ash-Shalat, Bab "Apa yang dibaca setelah salam" no. 925; an-Nasa'i, Sunan al-Kubra (31/6) no. 9850 dan pada Amal al-Yaum wa al-Lailah no. 102, dari Ummu Salamah رضي الله عنها
2.) Syarah Hishnul Muslim hlm. 113

Disesuaikan dari: http://www.atsar.id/2015/10/doa-meminta-ilmu-yg-bermanfaat-rezeki.html

Wednesday, December 20, 2017

Apakah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)


.
Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)
Apakah itu PI1M?

Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) adalah satu perkhidmatan capaian internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat terutamanya di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara. Inisiatif ini yang bermula pada tahun 2013 ini diterajui oleh pihak SKMM dan dibiayai melalui dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision).


Apakah Objektif PI1M?
Objektif penyediaan PI1M adalah untuk:
• Meningkatkan kegiatan dan taraf sosio ekonomi penduduk berpendapatan rendah;
• Menubuhkan 100 PI1M di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar;
• Menyediakan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar internet;
• Menyediakan kemudahan akses internet secara kolektif;
• Melaksanakannya di bandar besar terpilih di seluruh Negara dalam tahun 2013-2015; 
• Menyumbang ke arah mengurangkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar;
• Pendedahan teknologi IT kepada penduduk luar bandar setaraf dengan bandar;
• Melaksanakannya di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP); dan
• Membantu mencapai matlamat dalam Pelan Jalur Lebar Negara


Dimanakah Lokasi PI1M?
Pengguna boleh merujuk kepada senarai PI1M yang beroperasi di seluruh negara di laman web berikut: http://www.skmm.gov.my/skmmgovmy/files
Pemilihan lokasi PI1M ini adalah berdasarkan kepada tinjauan dan lawatan tapak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKMM dengan kerjasama agensi Kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.

Apakah Kemudahan dan Perkhidmatan yang disediakan di PI1M?
Perkhidmatan yang disediakan adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan IT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus. Penggunaan PI1M adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Adakah Kemudahan PI1M ini dikenakan bayaran?
Ya, terdapat kemudahan dan perkhidmatan yang dikenakan dengan kadar caj yang rendah dan berpatutan. Oleh itu, untuk menggunakan kemudahan PI1M, pengguna digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli bagi menikmati kadar yang lebih murah bagi setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan. Walaubagaimanapun, tiada bayaran akan dikenakan ke atas setiap program latihan yang disediakan.
 .

Tuesday, December 19, 2017

Siapakah pencipta teknologi Email?

Pernahkah anda bertanya siapakah pencipta teknologi Email dan kenapa beliau gunakan tanda "@"?


Teknologi Email telah dirintis oleh seorang pengaturcara yang kebetulan terlibat dengan rangkaian komunikasi di awal era Internet bernama ARPANET (Advanced Research Project Agency Network) pada tahun 1971 bernama Raymond Tomlinson.

Pada awalnya, Raymond Tomlinson, atau Ray, ditugaskan untuk membangunkan perisian yang boleh digunakan oleh Rangkaian ARPANET iaitu sebuah projek penyelidikan Amerika Syarikat yang termaju pada ketika itu.

Beliau tertarik dengan satu aplikasi bernama SNDMSG (mungkin singkatan kepada SEND MESSAGE) yang membolehkan pengguna yang berkongsi komputer yang sama menujukan mesej sesama mereka. Beliau terfikir alangkah bagusnya jika mesej ini boleh dihantar kepada pengguna di komputer yang lain.

Kebetulan Ray juga terlibat membangunkan perisian eksperimen untuk memindahkan fail dari satu komputer ke komputer yang lain bernama CPYNET (mungkin singkatan kepada COPY TO NETWORK).

Secara diam-diam Ray cuba menggabungkan fungsi kedua-dua perisian lalu terhasillah aplikasi Email pertama yang membolehkan pengguna yang berada di sesebuah komputer menghantar mesej kepada pangguna yang berada di komputer lain.

Untuk membolehkan mesej dihantar kepada penerima yang betul, Ray perlu menyediakan format alamat yang mengandungi nama penerima dan nama komputer. Ray meletakkan simbol "@" sebagai pemisah di antara nama penerima dan nama komputer hos. Simbol "@" dipilih kerana pada ketika itu ia masih belum digunakan dengan meluas di dalam dunia pengaturcaraan dan pembangunan sistem.

Oleh kerana percubaan ini dilakukan secara suka-suka tanpa pengetahuan syarikatnya, Ray pernah berpesan kepada rakannya "Don't tell anyone! This isn't what we're supposed to be working on" (Jangan beritahu sesiapa, ini bukan kerja yang sepatutnya kita lakukan). Ray tidak pernah terfikir Email akan menjadi teknologi yang merevolusikan dunia komunikasi di kemudian hari. Dia juga langsung terlupa perkataan yang telah dihantar dalam percubaan pertamanya. Ia boleh jadi "QWERTYUIOP".

Moral: Jadikan kerja rutin anda sesuatu yang menarik dengan meneroka peluang yang ada padanya. Siapa tahu anda bakal menukarkan perkara yang BIASA kepada LUARBIASA.

Sumber:

1. https://en.wikipedia.org/wiki/Ray_Tomlinson
2. https://www.nytimes.com/2016/03/08/technology/raymond-tomlinson-email-obituary.html
3. https://www.lifewire.com/first-email-message-1164184














Gelap Dunia Tanpa Guru

Gelap Gelita Dunia Ini... Tanpa suluhan kasih guru

 Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri
"Ya Allah Ya Tuhanku, kami berdoa padaMu. Lindungilah guru kami. Bantulah mereka jika mereka di dalam kesusahan dan kesempitan. Berkatilah rezeki mereka. Sayangilah mereka. Berilah ketenangan dan kelapangan hidup. Bahagiakanlah hidup mereka. Berikanlah kepada mereka kesihatan supaya dapat terus berbakti memberi ilmu dan mendidik manusia."