Friday, July 31, 2015

Maksud Spesifikasi Komputer


Maksud Spesifikasi Komputer
Maksud Computer Specification

1) Spesifikasi Komputer atau biasa disebut "Spek Komputer" ("Computer Specs") bermaksud ciri-ciri khusus bagi sesebuah komputer. Biasanya ciri-ciri ini meliputi perkara penting yang menentukan prestasi (performance) komputer tersebut.

2) Spesifikasi Komputer merupakan perkara utama yang mesti dipertimbangkan oleh seseorang apabila mahu membeli komputer. Harga komputer relatifnya adalah mahal maka pembeli perlu fikir dengan sebaiknya sebelum membuat pilihan.

3) Gambar di atas adalah contoh perbandingan sistem komputer berdasarkan spesifikasi. Kita boleh bandingkan sistem komputer dengan berbagai cara. Tetapi antara ciri yang mudah boleh dibandingkan adalah:

3.1) Processor - Jenis i3 adalah untuk kegunaan biasa. Jenis i5 dan ke atas adalah untuk kegunaan profesional. Dual Core maksudnya dua subpemproses. Quad Core maksudnya empat subpemproses. Semakin banyak tentulah semakin pantas.

3.2) RAM - Saiz 2GB adalah saiz bagi kebanyakan komputer pada hari ini (tahun 2015). Manakala 4GB dan ke atas mungkin diperlukan jika tugasan kerja yang anda lakukan banyak dan bermuatan berat (maksudnya terlalu banyak kerja mahu diproses seperti pengaturcaraan, kerja pembangunan multimedia atau permainan berkuasa tinggi)

3.3) Hard Drive - Kebanyakan komputer hari ini mempunyai saiz Hard Disk di antara 250GB ke 500GB. Ada juga yang bersaiz 150GB. Saiz Hard Disk bergantung kepada keperluan storan (storage) anda. Jika anda mahu menyimpan banyak fail (seperti kerja, gambar, video etc.) maka saiznya perlu besar. Jika setakat menyimpan fail Word atau Excel, 150GB pun sudah memadai.

3.4) Screen Size - Kebanyakan komputer bersaiz 13 - 14 inci. Lebih besar tentu lebih seronok tetapi ia akan jadi lebih berat dan susah hendak dibawa. Lebih kecil mudah untuk dibawa tetapi mungkin tidak selesa untuk melihatnya.

3.5) Battery Life - Kebanyakan komputer dapat bertahan 4 jam ke atas. Jika anda seorang yang banyak bergerak,  lebih lama bateri itu dapat berkuasa lebih baik. Jika anda kerap guna di rumah atau pejabat sahaja, faktor bateri tidaklah penting sangat.

3.6) Optical Drive - Optical Drive untuk CD/DVD akan jadi keperluan jika anda mahu memasang aplikasi tambahan atau menonton video. Lebih baik mencari komputer yang sudah ada Optical Drive supaya mudah untuk menggunakannya jika ada keperluan pada masa hadapan.

3.7) USB Drive - USB Drive adalah sejenis port (dalam bahasa mudah, ianya seperti soket elektrik untuk kita mencucukkan peranti tambahan). Hari ini USB Drive boleh digunakan untuk membaca kandungan Flash Drive (Thumb Drive), caj bateri untuk handphone atau membekalkan elektrik kepada aksesori seperti kipas dan lampu.

4) Maklumat di atas adalah spefikasi yang tipikal. Terdapat pelbagai spesifikasi yang lain lagi tetapi cukuplah yang di atas dahulu untuk difahami buat permulaan.

5) Apabila anda mahu membeli komputer baru atau second-hand, janganlah terus beli pada kali pertama anda lihat atau dengar spesifikasinya. Sebaliknya, luangkan sedikit masa pergi ke beberapa kedai atau penjual untuk dengar tawaran mereka. Penjual komputer kadangkala terdesak dan cuba mempengaruhi anda membeli produknya. Jika rasa tidak selesa, batalkan dulu niat mahu membeli supaya anda dapat buat keputusan yang lebih bijaksana kemudian.

Wednesday, July 29, 2015

Maksud Laptop dan Notebook Computer


Maksud Laptop Computer
Maksud Notebook Computer
Maksud Komputer Laptop
Maksud Komputer Notebook

1) Laptop Computer, dari segi bahasa, bermaksud komputer riba. Ia disebut demikian kerana rekabentuk komputer ini dihasilkan supaya mudah diletakkan di atas riba semasa menggunakannya.

2) Notebook Computer, dari segi bahasa, bermaksud komputer buku nota. Ia disebut demikian kerana rekabentuk komputer ini dihasilkan supaya kelihatan seperti buku nota yang boleh dilipat dan dibuka.

3) Pada hari ini istilah Laptop dan Notebook digunakan untuk jenis komputer yang bersifat mudahalih (portable) yang kebanyakannya boleh dilipat. Ada juga yang boleh ditanggalkan dan bersifat seperti Tablet iaitu skrinnya boleh menerima input sentuhan. Ada pula yang lebih kecil dan murah yang dipanggil Netbook yang terhad untuk kegunaan pelayaran Internet dan aktiviti pemprosesan ringkas sahaja.

Saya lebih suka menggunakan istilah Laptop. Istilah Notebook kadangkala boleh mengelirukan pendengar kerana mereka mungkin menyangka saya bercakap tentang "Buku Nota" atau aplikasi "Note Book" atau perkara lain yang bernama "Note Book". Sedangkan apabila saya menyebut "Laptop", selalunya pendengar akan terus faham bahawa saya sedang bercakap tentang "Komputer Laptop".

4) Apapun jenis komputer mudahalih ini, kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang serupa iaitu:
4.1) Skrin untuk OUTPUT.
4.2) Papan Kekunci (keyboard) untuk INPUT.
4.3) TrackPad untuk INPUT (kita gerakkan jari pada pad dan ikon penunjuk akan bergerak di skrin)
4.4) Motherboard untuk PROCESS (motherboard berada di dalam badan utama laptop)

5) Terdapat berbagai jenama Laptop di pasaran. Kebaikannya, kita ada banyak pilihan untuk menepati kehendak dan citarasa kita. Kelemahannya, kita mungkin buntu memilih yang mana satu yang sebenarnya sesuai dengan keperluan kita.

6) Beli Laptop "ikut keperluan" bukan "ikut kehendak". Apakah "keperluan" untuk menggunakan Laptop? Biasanya Laptop digunakan untuk membuat kerja...
6.1) ...kepejabatan seperti menaip surat dan lembaran kerja.
6.2) ...pengaturcaraan.
6.3) ...rekabentuk kreatif.
6.4) ...bisnes atas-talian (online business)
6.5) ...hiburan (mungkin kurang tepat juga jika hendak disebut kerja hiburan)

Bagi kebanyakan kerja di atas, Laptop biasa yang berharga di antara RM1000 ke RM2000 sudah memadai untuk memenuhi keperluan pengguna. Akan tetapi jika keperluan pengaturcaraan atau rekabentuk kreatif itu memerlukan keupayaan tinggi, maka pembeli perlu bersedia membelajakan RM2000 ke atas. Umpamanya Laptop bernama MacBook Pro berharga RM4000 ke atas. Ia kelihatan mahal tetapi ia mempunyai keupayaan tinggi melaksanakan kerja pengaturcaraan dan rekabentuk yang rumit.

7) Maklumat teknikal terperinci tentang Laptop disebut sebagai Spesifikasi (Specification). Kita akan bincangkannya pada masa akan datang.

Maksud Sistem Komputer



1) Sistem Komputer atau Komputer bermaksud satu sistem yang boleh menerima data, memprosesnya dan menghasilkan maklumat.

2) Terdapat berbagai jenis komputer pada hari ini, bermula dari sistem ringkas seperti kalkulator untuk kegunaan peribadi hinggalah sistem yang rumit seperti superkomputer yang boleh digunakan oleh beribu orang pada satu masa.

3) Pada asasnya, setiap komputer akan menjalankan tiga aktiviti iaitu INPUT (menerima data), PROSES (memproses data) dan OUTPUT (mengeluarkan maklumat).

4) Contohnya, apabila kita menggunakan kalkulator untuk mencampur dua nombor, kita akan memasukkan nombor pertama (1), menekan simbol campur (+), memasukkan nombor kedua (2) dan menekan simbol hasil (=). Kalkulator kemudiannya akan memaparkan hasilnya (3). Ketiga-tiga aktiviti INPUT, PROSES dan OUTPUT terlibat di dalam contoh ini.

5) Pada hari ini, kegunaan komputer tidak terhad setakat mencampur nombor. Terdapat berbagai jenis komputer yang dicipta untuk memenuhi keperluan seharian manusia. Contohnya, kita menggunakan Laptop untuk menaip surat, Tablet untuk melayari internet dan SmartPhone untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan.

6) Dalam ketiga-tiga contoh sistem ini (Laptop, Tablet dan SmartPhone), Laptop merupakan satu sistem komputer yang sangat penting kerana kebanyakan urusan kerja pejabat mahupun rumah dapat dipermudahkan dengan bantuannya. Ringkasnya, kita akan mendapat banyak kelebihan dan peluang sekiranya kita mahir menggunakan Laptop.