Friday, September 18, 2015

Maksud PhoneoGraphy



1) PhoneoGraphy adalah satu istilah baru yang menggabungkan perkataan Phone dan Photography.

2) Secara amnya, ia bermaksud teknologi dan seni mengambil, menyunting dan menghasilkan imej foto menggunakan telefon pintar atau tablet.

Rujuk http://en.websaru.com/phoneography.html

3) Sejarah PhoneoGraphy bermula dengan kemunculan istilah iPhoneoGraphy iaitu menggunakan iPhone untuk menghasilkan imej foto seawal tahun 2007.

Rujuk https://en.wikipedia.org/wiki/IPhoneography

4) Hari ini, perlumbaan pembuatan telefon pintar menyaksikan kebanyakan jenama telefon pintar dilengkapi dengan perkakasan kamera canggih yang membolehkan imej foto bermutu tinggi dihasilkan.

5) Oleh kerana saiznya kecil, perkakasan kamera pada sesebuah telefon pintar tidak mempunyai keupayaan zoom setanding dengan kamera biasa.



6) Walaubagaimanapun, pengeluar telefon pintar berusaha meningkatkan jumlah pixel bagi keluasan foto imej untuk menghasilkan mutu yang baik. Secara mudahnya, jumlah pixel yang tinggi memberikan mutu yang lebih baik.




7) Kita akan bincangkan beberapa istilah utama seperti pixel ini dalam artikel seterusnya.





Saturday, August 15, 2015

Maksud Web Server

Maksud Web Server | Erti Web Server | Pengenalan Web Server


-

  • Apakah maksud Web Server?
  • Adakah Web Server itu sejenis Software? atau Hardware?
  • Apakah Web Server yang pertama diperkenalkan dalam sejarah komputer? Di manakah letaknya ia?

-
1) Web Server bermaksud sistem yang menyediakan Web Site untuk diakses oleh pengguna Internet. Sistem inilah yang membolehkan setiap dokumen elektronik yang terdapat dalam sesebuah Web Site itu dikongsi dan diakses oleh pengguna Internet dari serata dunia.

2) Sistem Web Server terdiri dari komponen perisian (software) dan perkakasan (hardware).

3) Perisian Web Server akan mendengar isyarat permintaan dari pengguna Internet (Request) dan membalasnya (Response) secara logik. Perkakasan Web Server pula berperanan memproses isyarat Request atau Response secara elektronik. Kebiasaannya isyarat Request dan Response adalah tinggi maka kita memerlukan Perisian dan Perkakasan yang khusus untuk memastikan peranan Web Server tidak terganggu.



4) Mesin (Hardware) Web Server yang pertama di dunia dipanggil NeXT Computer. Ia dikeluarkan oleh Syarikat NeXT yang dimiliki oleh Steve Jobs, pengasas syarikat Apple. Mesin ini digunakan oleh Tim Berners Lee, perintis teknologi Web ketika melakukan kajian berkaitannya di CERN Lab Switzerland pada tahun 1990. (Baca selanjutnya, https://en.wikipedia.org/wiki/CERN_httpd#/media/File:First_Web_Server.jpg)



5) Perisian (Software) Web Server yang pertama pula dikenali sebagai CERN httpd. httpd adalah singkatan kepada Hyper Text Transfer Protocol Daemon. Dalam bahasa mudah, ia adalah perisian yang berfungsi untuk memproses isyarat Request dan Response di dalam persekitaran Internet. (Baca selanjutnya, https://en.wikipedia.org/wiki/CERN_httpd )




6) Pada hari ini teknologi Perisian dan Perkakasan Web Server telah berkembang pesat dan terdapat berbagai produk komersial mahupun sumber terbuka untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna.
-

Wednesday, August 12, 2015

Maksud Website


Maksud website | Erti website | Pengenalan website


  • Apakah maksud Web Site?
  • Apakah perbezaan Web Site dan Web Page?
  • Bagaimanakah sistem Internet mencari Web Site yang kita kehendaki?


1) Website atau Web Site bermaksud tapak yang mengandungi beberapa Web Pages bagi satu Web Domain yang sama.

Ketiga-tiga istilah ini iaitu Web SiteWeb Pages dan Web Domain boleh mengelirukan jika pembaca tidak memahaminya dengan baik.

2) Untuk memudahkan kita memahaminya, kita boleh mengambil perumpamaan majalah seperti majalah komputer. Satu majalah komputer (Web Site) mengandungi beberapa halaman (Web Pages). Majalah ini diberikan nama (Web Domain) contohnya "Majalah PC" supaya pembaca mudah mencarinya di pasaran.



Katakan anda mahu membeli majalah di atas, apabila anda berkunjung ke kedai buku anda akan memberitahu peniaga "Saya mahu membeli Majalah PC". Walaupun kedai buku mengandungi beribu buah buku dan majalah, peniaga akan dapat mencari majalah ini dengan mudah kerana sudah ada kaedah menyusun buku mengikut kategori dan namanya.

3) Begitulah jua halnya dengan Web Site. Terdapat beribu juta Web Site pada hari ini, tetapi jika anda menaip nama Web Domain bagi sesuatu Web Site di dalam Web Browser, halaman utama Web Site tersebut akan dipaparkan di dalam Web Browser dalam masa beberapa saat sahaja.

4) Nama yang ditaip di dalam Web Browser itu dipanggil Web Address. Lihat dua contoh di bawah bagaimana Web Address digunakan.


Dalam contoh di atas, tertulis perkataan "majalahpc.karangkraf.com" (atau sebenarnya http://majalahpc.karangkraf.com). Ia bermakna majalahpc adalah subdomain kepada domain karangkraf.com. Dalam kata lain domain karangkraf mewakili syarikat penerbitan yang besar di mana salah satu subpenerbitannya adalah majalahpc. Perhatikan ada satu bar berwarna oren tertulis perkataan  BERITA .


Apabila seseorang pengguna Internet mengklik perkataan   BERITA , Web browser akan berpindah ke Web Page yang baru dan memaparkan Web Address bagi Web Page tersebut contohnya http://majalahpc.karangkraf.com/berita


5) Berbalik pada perumpamaan buku tadi, sebenarnya setiap buku yang dijual di pasaran mempunyai nombor daftarnya sendiri yang dipanggil ISBN (International Standard Book Number). Contohnya ISBN bagi Majalah PC adalah 9771675052052.

Setiap buku diberikan nombor kod yang dipanggil ISBN kerana ia mempercepatkan proses pengkelasan, penyimpanan dan pencarian samada di kedai mahupun di perpustakaan.


6) Demikian juga halnya dengan Nama Domain. Sistem komputer dan rangkaian lebih cekap mengendalikan nombor berbanding teks. Maka sistem komputer dan rangkaian akan menyimpan Nama Domain dalam bentuk nombor yang dipanggil Internet Protocol Number atau Nombor IP.


7) Katakan anda mahu mencari Web Site Google. Anda akan menaip http://www.google.com  (ini dinamakan Web Address ). Sistem komputer dan rangkaian kemudiannya akan menukarkan teks ini ke dalam bentuk IP contohnya http://74.125.224.72/. (ini dinamakan IP Address). Cuba klik kedua-dua link ini dan akhirnya anda akan terjumpa Web Site yang sama.

8) Anda juga boleh cuba sendiri mendapatkan IP Address bagi sesebuah Domain Name dengan menggunakan perkhidmatan www.getip.com.



Perhatikan dalam gambar di atas IP Address bagi Google ie http://74.125.141.106/ berbeza dengan contoh sebelum ini ie  http://74.125.224.72/. Ini bermakna Google menggunakan lebih dari satu komputer Web Server bertujuan menggandakan kelajuan dan kecekapan Web Site bagi melayan jumlah pelawat yang terlalu ramai. Setiap satu komputer Web Server menyimpan dokumen elektronik yang sama bagi Web Address http://www.google.com.

Tuesday, August 11, 2015

Maksud World Wide Web (WEB)


Maksud World Wide Web | Erti World Wide Web | Pengenalan World Wide Web


-
Tahukah anda maksud World Wide Web atau Web?
Adakah Web dan Internet itu sama?
-

1) World Wide Web atau singkatannya Web adalah istilah yang merujuk kepada koleksi dokumen elekronik yang boleh ditemui apabila kita menghubungkan komputer kita ke rangkaian Internet.

2) Adakalanya sesetengah pengguna menyamakan Web dan Internet. Namun demikian, secara teknikalnya kedua-dua istilah ini berbeza. Internet adalah berkaitan dengan rangkaian komputer manakala Web adalah berkaitan dengan perkongsian dokumen elektronik.

3) Dalam konteks Malaysia, saya suka menggunakan perumpamaan Lebuhraya dan perhentian Rehat dan Rawat (R&R). Lebuhraya membolehkan kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Di sepanjang lebuhraya terdapat beberapa perkhidmatan seperti parkir, stesen minyak dan R&R. Adalah tidak betul jika kita mengatakan "R&R itu adalah Lebuhraya" kerana kedua-duanya mempunyai peranan berbeza. Tetapi lebih tepat jika kita mengatakan "R&R adalah sejenis perkhidmatan yang boleh didapati apabila kita menggunakan Lebuhraya". Kita tidak akan dapat menggunakan R&R melainkan masuk dahulu ke dalam laluan Lebuhraya.

"Web adalah sejenis perkhidmatan perkongsian dokumen elektronik yang boleh didapati melalui Rangkaian Internet"




4) Terdapat istilah lain yang bersangkutan yang anda perlu tahu dan faham untuk membolehkan anda mengambil manfaat dari Web iaitu...
4.1) Internet (rujuk nota sebelum ini)
4.2) Web (nota ini)
4.3) Web Site
4.4) Web Page
4.5) Web Browser
4.6) Web URL atau Web Address
4.7) Hyperlink


Kita akan bincangkan istilah di atas dalam tajuk yang lain.







Monday, August 10, 2015

Maksud Internet


Maksud Internet | Erti Internet | Pengenalan Internet
Tahukah anda siapakah yang memulakan Internet?
Tahukah anda ada rahsia Internet di dasar lautan dunia?
-
1) Internet adalah istilah yang merujuk kepada jaringan rangkaian komputer sedunia.

2) Konsepnya pertama kali dicuba pada tahun 1969 dan dibuka untuk komersil pada tahun 1995.




Baca selanjutnya Infografik tentang sejarah Internet.


3) Talian Internet yang utama dihubungkan melalui laut. Tiada siapa yang benar-benar memiliki keseluruhan talian ini. Sebaliknya setiap pihak bekerjasama membantu menjaga talian ini sepanjang berada di dalam kawasan sempadannya. Contohnya, di Malaysia, syarikat Telekom Malaysia membantu menyediakan prasarana (infrastructure) yang secukupnya untuk membolehkan pengguna negara ini berhubung melalui Talian Internet.



Di samping perhubungan melalui laut, Internet juga dihubungkan melalui perkhidmatan satelit.




4) Perhubungan Internet sangat popular pada hari ini kerana sebab berikut:

4.1) Pengguna boleh berhubung dengan kenalannya yang jauh beribu batu dalam masa beberapa saat sahaja.

4.2) Pengguna boleh berada di mana-mana sahaja asalkan lokasi tersebut berada di dalam kawasan poin akses internet (Internet Access Point). Di Malaysia, kita boleh akses menggunakan talian Unifi, P1, YES ataupun mobile data seperti yang disediakan oleh CELCOM, DIGI, MAXIS dan lain-lain.

4.3) Pengguna boleh berhubung pada bila-bila masa kerana Talian Internet ini aktif sepanjang masa.

4.4) Terdapat aplikasi yang banyak dan pelbagai yang boleh menepati keperluan pengguna.

4.5) Kaedah sambungan ke Internet telah dipermudahkan pada hari ini sehinggakan orang kebanyakan yang tidak tahu tentang Teknologi Rangkaian (Network Technology) dapat melakukannya sendiri. Contohnya, apabila seseorang membeli Telefon Pintar (Smart Phone), sim card yang dipasang pada telefon tersebut sudah diperkuasakan untuk mengesan isyarat mobile data yang disediakan oleh pengendali rangkaian seperti CELCOM dll. Manakala Telefon tersebut pula sudah dipasang dengan Pelayar Web (Web Browser) dan Aplikasi Emel di mana pengguna hanya perlu belajar beberapa langkah sahaja untuk melayari laman web atau menghantar mel elektronik.


-


Wednesday, August 5, 2015

Maksud Windows Operating System (Win OS)


Maksud Operating System
Maksud Windows Operating System
Maksud Sistem Operasi Komputer

1) Selalunya apabila kita mengunjungi kedai komputer, penjual komputer akan mempromosikan jenama komputer seperti ACER, ASUS, LENOVO dan sebagainya. Perkara selanjutnya yang mungkin turut disebut adalah...
"komputer ini menjalankan sistem operasi Windows" seperti "Windows 7", "Windows 8", atau "Windows 10".
2) Apakah maksud "Windows" sebenarnya? Seperti yang disebut dalam dialog di atas, Windows adalah sejenis perisian (software) yang mengawal sesebuah sistem komputer. Ia dikategorikan sebagai perisian sistem operasi (operating system software) kerana fungsinya mengawal mesin komputer.

3) Tanpa perisian sistem operasi seperti "Windows" maka sistem komputer tidak dapat berfungsi. Bayangkan jika anda membeli Laptop tanpa "Windows" dan menghidupkannya. Laptop ini tidak akan memaparkan apa-apa di skrin kerana ia menunggu arahan selanjutnya.

4) Sebab itulah, jika anda mendapati Laptop yang secara tiba-tiba tidak memaparkan apa-apa di skrin berkemungkinan menghadapi dua masalah:
4.1) Masalah perkakasan komputer (computer hardware), iaitu kerosakan pada skrin, hard disk atau motherboard.
4.2) Masalah perisian sistem operasi (operating system software), iaitu contohnya kerosakan pada perisian Windows. Kadangkala anda mungkin pernah mendengar juruteknik komputer menyebut "Windows system corrupted" maksudnya sistem Windows telah rosak.

5) Mengapakah namanya "Windows"? Bukan "Door"? Bukan "Gate"? dan sebagainya. Jawapannya, pada asalnya istilah "Windows" bermaksud konsep paparan aplikasi di atas skrin komputer dalam bentuk kotak segiempat. Melalui kotak inilah kita berinteraksi dengan aplikasi tersebut.

6) Katakan pengguna mahu menjalankan aplikasi Notepad. Aplikasi Notepad akan dipaparkan dalam bentuk kotak segiempat. Pengguna hanya boleh menaip teks di dalam kawasan kotak ini.  Pengguna boleh membesarkan saiz (maximize) sempadan (border) kotak sehingga memenuhi ruang skrin atau mengecilkan saiz (minimize) sempadan (border) sehingga aplikasi ini tidak kelihatan langsun di atas skrin. Inilah contoh mudah bagi menjelaskan maksud konsep tetingkap (windows).


7) Konsep umum tetingkap (windows) kemudiannya digunapakai oleh syarikat Microsoft yang kemudiannya mendaftarkan nama Windows sebagai tanda niaga produknya (product trade mark). Semenjak tahun 1985 hingga sekarang, produk Windows telahpun melalui siri evolusi seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas.
windows=konsep tetingkap
Windows=nama produk keluaran Microsoft
8) Apakah ada produk alternatif kepada Windows? Windows secara umumnya dijual untuk kegunaan Komputer Peribadi (Personal Computer, PC). Jika anda tidak mahu menggunakan Windows, anda boleh memilih perisian Linux. Linux juga adalah perisian yang berperanan seperti Windows. Di samping itu, ada sejenis komputer peribadi yang dikeluarkan oleh syarikat Apple yang mempunyai sistem operasinya sendiri yang dipanggil Macintosh OS atau Mac OS. Jadi ringkasnya, ada tiga perisian operasi yang digunakan oleh sebahagian besar komputer peribadi iaitu Windows, Linux dan Mac OS.




9) Perlukah saya mencuba ketiga-tiga perisian ini? Jawapanya tidak perlu. Setiap komputer atau laptop yang sudah terpasang sistem perisian seperti Windows mempunyai jaminan warranty yang akan terbatal jika anda mengubahsuai sistemnya seperti menukarkan Windows kepada Linux. Oleh itu, gunakanlah komputer anda mengikut sistem yang sudah tersedia supaya jaminan warranty ini melindungi anda dari sebarang masalah di kemudian hari.
















Friday, July 31, 2015

Maksud Spesifikasi Komputer


Maksud Spesifikasi Komputer
Maksud Computer Specification

1) Spesifikasi Komputer atau biasa disebut "Spek Komputer" ("Computer Specs") bermaksud ciri-ciri khusus bagi sesebuah komputer. Biasanya ciri-ciri ini meliputi perkara penting yang menentukan prestasi (performance) komputer tersebut.

2) Spesifikasi Komputer merupakan perkara utama yang mesti dipertimbangkan oleh seseorang apabila mahu membeli komputer. Harga komputer relatifnya adalah mahal maka pembeli perlu fikir dengan sebaiknya sebelum membuat pilihan.

3) Gambar di atas adalah contoh perbandingan sistem komputer berdasarkan spesifikasi. Kita boleh bandingkan sistem komputer dengan berbagai cara. Tetapi antara ciri yang mudah boleh dibandingkan adalah:

3.1) Processor - Jenis i3 adalah untuk kegunaan biasa. Jenis i5 dan ke atas adalah untuk kegunaan profesional. Dual Core maksudnya dua subpemproses. Quad Core maksudnya empat subpemproses. Semakin banyak tentulah semakin pantas.

3.2) RAM - Saiz 2GB adalah saiz bagi kebanyakan komputer pada hari ini (tahun 2015). Manakala 4GB dan ke atas mungkin diperlukan jika tugasan kerja yang anda lakukan banyak dan bermuatan berat (maksudnya terlalu banyak kerja mahu diproses seperti pengaturcaraan, kerja pembangunan multimedia atau permainan berkuasa tinggi)

3.3) Hard Drive - Kebanyakan komputer hari ini mempunyai saiz Hard Disk di antara 250GB ke 500GB. Ada juga yang bersaiz 150GB. Saiz Hard Disk bergantung kepada keperluan storan (storage) anda. Jika anda mahu menyimpan banyak fail (seperti kerja, gambar, video etc.) maka saiznya perlu besar. Jika setakat menyimpan fail Word atau Excel, 150GB pun sudah memadai.

3.4) Screen Size - Kebanyakan komputer bersaiz 13 - 14 inci. Lebih besar tentu lebih seronok tetapi ia akan jadi lebih berat dan susah hendak dibawa. Lebih kecil mudah untuk dibawa tetapi mungkin tidak selesa untuk melihatnya.

3.5) Battery Life - Kebanyakan komputer dapat bertahan 4 jam ke atas. Jika anda seorang yang banyak bergerak,  lebih lama bateri itu dapat berkuasa lebih baik. Jika anda kerap guna di rumah atau pejabat sahaja, faktor bateri tidaklah penting sangat.

3.6) Optical Drive - Optical Drive untuk CD/DVD akan jadi keperluan jika anda mahu memasang aplikasi tambahan atau menonton video. Lebih baik mencari komputer yang sudah ada Optical Drive supaya mudah untuk menggunakannya jika ada keperluan pada masa hadapan.

3.7) USB Drive - USB Drive adalah sejenis port (dalam bahasa mudah, ianya seperti soket elektrik untuk kita mencucukkan peranti tambahan). Hari ini USB Drive boleh digunakan untuk membaca kandungan Flash Drive (Thumb Drive), caj bateri untuk handphone atau membekalkan elektrik kepada aksesori seperti kipas dan lampu.

4) Maklumat di atas adalah spefikasi yang tipikal. Terdapat pelbagai spesifikasi yang lain lagi tetapi cukuplah yang di atas dahulu untuk difahami buat permulaan.

5) Apabila anda mahu membeli komputer baru atau second-hand, janganlah terus beli pada kali pertama anda lihat atau dengar spesifikasinya. Sebaliknya, luangkan sedikit masa pergi ke beberapa kedai atau penjual untuk dengar tawaran mereka. Penjual komputer kadangkala terdesak dan cuba mempengaruhi anda membeli produknya. Jika rasa tidak selesa, batalkan dulu niat mahu membeli supaya anda dapat buat keputusan yang lebih bijaksana kemudian.

Wednesday, July 29, 2015

Maksud Laptop dan Notebook Computer


Maksud Laptop Computer
Maksud Notebook Computer
Maksud Komputer Laptop
Maksud Komputer Notebook

1) Laptop Computer, dari segi bahasa, bermaksud komputer riba. Ia disebut demikian kerana rekabentuk komputer ini dihasilkan supaya mudah diletakkan di atas riba semasa menggunakannya.

2) Notebook Computer, dari segi bahasa, bermaksud komputer buku nota. Ia disebut demikian kerana rekabentuk komputer ini dihasilkan supaya kelihatan seperti buku nota yang boleh dilipat dan dibuka.

3) Pada hari ini istilah Laptop dan Notebook digunakan untuk jenis komputer yang bersifat mudahalih (portable) yang kebanyakannya boleh dilipat. Ada juga yang boleh ditanggalkan dan bersifat seperti Tablet iaitu skrinnya boleh menerima input sentuhan. Ada pula yang lebih kecil dan murah yang dipanggil Netbook yang terhad untuk kegunaan pelayaran Internet dan aktiviti pemprosesan ringkas sahaja.

Saya lebih suka menggunakan istilah Laptop. Istilah Notebook kadangkala boleh mengelirukan pendengar kerana mereka mungkin menyangka saya bercakap tentang "Buku Nota" atau aplikasi "Note Book" atau perkara lain yang bernama "Note Book". Sedangkan apabila saya menyebut "Laptop", selalunya pendengar akan terus faham bahawa saya sedang bercakap tentang "Komputer Laptop".

4) Apapun jenis komputer mudahalih ini, kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang serupa iaitu:
4.1) Skrin untuk OUTPUT.
4.2) Papan Kekunci (keyboard) untuk INPUT.
4.3) TrackPad untuk INPUT (kita gerakkan jari pada pad dan ikon penunjuk akan bergerak di skrin)
4.4) Motherboard untuk PROCESS (motherboard berada di dalam badan utama laptop)

5) Terdapat berbagai jenama Laptop di pasaran. Kebaikannya, kita ada banyak pilihan untuk menepati kehendak dan citarasa kita. Kelemahannya, kita mungkin buntu memilih yang mana satu yang sebenarnya sesuai dengan keperluan kita.

6) Beli Laptop "ikut keperluan" bukan "ikut kehendak". Apakah "keperluan" untuk menggunakan Laptop? Biasanya Laptop digunakan untuk membuat kerja...
6.1) ...kepejabatan seperti menaip surat dan lembaran kerja.
6.2) ...pengaturcaraan.
6.3) ...rekabentuk kreatif.
6.4) ...bisnes atas-talian (online business)
6.5) ...hiburan (mungkin kurang tepat juga jika hendak disebut kerja hiburan)

Bagi kebanyakan kerja di atas, Laptop biasa yang berharga di antara RM1000 ke RM2000 sudah memadai untuk memenuhi keperluan pengguna. Akan tetapi jika keperluan pengaturcaraan atau rekabentuk kreatif itu memerlukan keupayaan tinggi, maka pembeli perlu bersedia membelajakan RM2000 ke atas. Umpamanya Laptop bernama MacBook Pro berharga RM4000 ke atas. Ia kelihatan mahal tetapi ia mempunyai keupayaan tinggi melaksanakan kerja pengaturcaraan dan rekabentuk yang rumit.

7) Maklumat teknikal terperinci tentang Laptop disebut sebagai Spesifikasi (Specification). Kita akan bincangkannya pada masa akan datang.

Maksud Sistem Komputer



1) Sistem Komputer atau Komputer bermaksud satu sistem yang boleh menerima data, memprosesnya dan menghasilkan maklumat.

2) Terdapat berbagai jenis komputer pada hari ini, bermula dari sistem ringkas seperti kalkulator untuk kegunaan peribadi hinggalah sistem yang rumit seperti superkomputer yang boleh digunakan oleh beribu orang pada satu masa.

3) Pada asasnya, setiap komputer akan menjalankan tiga aktiviti iaitu INPUT (menerima data), PROSES (memproses data) dan OUTPUT (mengeluarkan maklumat).

4) Contohnya, apabila kita menggunakan kalkulator untuk mencampur dua nombor, kita akan memasukkan nombor pertama (1), menekan simbol campur (+), memasukkan nombor kedua (2) dan menekan simbol hasil (=). Kalkulator kemudiannya akan memaparkan hasilnya (3). Ketiga-tiga aktiviti INPUT, PROSES dan OUTPUT terlibat di dalam contoh ini.

5) Pada hari ini, kegunaan komputer tidak terhad setakat mencampur nombor. Terdapat berbagai jenis komputer yang dicipta untuk memenuhi keperluan seharian manusia. Contohnya, kita menggunakan Laptop untuk menaip surat, Tablet untuk melayari internet dan SmartPhone untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan.

6) Dalam ketiga-tiga contoh sistem ini (Laptop, Tablet dan SmartPhone), Laptop merupakan satu sistem komputer yang sangat penting kerana kebanyakan urusan kerja pejabat mahupun rumah dapat dipermudahkan dengan bantuannya. Ringkasnya, kita akan mendapat banyak kelebihan dan peluang sekiranya kita mahir menggunakan Laptop.

Friday, May 15, 2015

Komponen Utama Kamera DSLR


.
Kenali Komponen Utama Kamera DSLR
1) Secara konsepnya, Kamera DSLR mempunyai komponen luar (boleh dilihat tanpa perlu membuka kamera) seperti berikut:
1.1) Lens - Komponen yang mempunyai kanta yang dipasang pada bahagian hadapan kamera untuk menghalakan tumpuan pada objek foto.
1.2) Aperture - Komponen yang mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam Lens.
1.3) Shutter Release - Komponen tombol yang kebiasaannya bercirikan half-press (tekan separuh untuk fokus) dan full-press (tekan penuh untuk rakam).
1.4) View Finder - Komponen tinjau untuk membolehkan pengguna memerhati objek foto.
1.5) LCD Monitor - Komponen paparan untuk membolehkan pengguna melihat foto dan paparan visual yang lain.
1.6) Flash Light Plug - Komponen plug untuk meletakkan Flash Light.
1.7) Tripod Plug - Komponen plug untuk meletakkan tripod
1.8) Memory Slot - Komponen untuk memasukkan Memory Card.
1.9) Battery Slot - Komponen untuk memasukkan Battery.

2) Secara praktisnya, Kamera DSLR mempunyai pendail mod (dial modes) untuk membolehkan pengguna menentukan kaedah melaraskan kawalan ke atas proses rakaman foto. Walaupun simbol yang digunakan berbeza dari satu jenama ke jenama yang lain, fungsi yang disediakan hampir sama.

.
LATIHAN:

1) Terangkan aliran kerja (workflow)  yang anda lakukan setiap kali mengambil gambar foto.

2) Bagaimanakah anda memastikan setiap komponen kamera anda berada dalam keadaan baik?

.

Sunday, January 4, 2015

Komponen Komputer

.

Komponen Komputer

Komputer mengandungi banyak komponen elektrik, elektronik dan mekanikal yang dikenali sebagai perkakasan (English:hardware).

Komponen ini boleh dibahagikan mengikut peranan seperti:
Peranti Input
Peranti Output
Unit Sistem
Peranti Storan
Peranti Komunikasi
.

Saturday, January 3, 2015

Kitaran Pemprosesan Maklumat


.

Kitaran Pemprosesan Maklumat

Kitaran Pemprosesan Maklumat adalah satu proses berulang yang terdiri dari aktiviti input-proses-ouput. Input bermaksud aktiviti memberikan komputer data yang diperlukan untuk pemprosesan. Proses bermaksud aktiviti mengubah data menjadi maklumat. Output bermaksud mengembalikan maklumat yang terhasil kepada pengguna. Maklumat yang terhasil ini mungkin akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan atau disebarkan kepada pengguna lain melalui rangkaian komputer.
.

Friday, January 2, 2015

Perbezaan Data dan Maklumat


.

 Perbezaan Data dan Maklumat

Ada di kalangan kita yang menyangka Data itu sama dengan Maklumat. Hakikatnya kedua-dua istilah ini berbeza maksudnya.

Data adalah fakta atau nilai sesuatu — Apabila fakta atau nilai ini diproses, ditafsir, diterjemah, digabung, disusun, distruktur dan dipersembahkan sehingga dapat difahami dan digunakan dalam membuat keputusan, maka ia dipanggil maklumat.

Sebagai contohnya, sesuatu senarai tarikh tidak memberi apa-apa makna melainkan disertai dengan tajuk bagi senarai tersebut contohnya "Senarai cuti umum bagi tahun ini".

Data dan Maklumat saling berkaitan. Data diproses menjadi maklumat untuk membuat sesuatu keputusan. Selepas itu, maklumat ini mungkin menjadi data untuk diproses bagi menghasilkan maklumat bagi membuat keputusan berikutnya.

Contohnya, jumlah pelawat sesebuah laman web boleh dijadikan sebagai penunjuk populariti laman tersebut. Jumlah ini jika dipecahkan mengikut tajuk artikel pula boleh memberitahu artikel apa yang paling popular bagi laman tersebut. 

Dalam contoh di atas, ada dua peringkat analisa berlaku di sini. Pertamanya, merumuskan samada laman web itu popular atau tidak. Keduanya, apakah artikel yang paling popular di kalangan semua artikel yang diterbitkan bagi sesebuah laman web. 


Gallery: fb.me/NotaMotivasi - Koleksi Motivasi, Kata Mutiara dan Kata Minda.

Thursday, January 1, 2015

Maksud Komputer?


.
Komputer adalah sejenis alat elektronik yang beroperasi mengikut arahan yang disimpan dalam ingatannya yang boleh menerima data lalu memproses mengikut peraturan dan kemudiannya menyimpan atau menyebarkan maklumat tadi kepada pengguna lain..